MASA ITU EMAS

Monday, September 14, 2009

Situasi Pandemik (H1N1)


Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 Dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia
14 September 2009

Dimaklumkan pada hari ini sejumlah 48 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 126 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki seramai 970 kes ILI sedang dirawat di 102 buah hospital termasuk 13 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, 193 pesakit (20%) sahaja telah disahkan positif H1N1.

Daripada 193 kes yang telah disahkan H1N1, 41 kes sedang dirawat di ICU di mana 2 kes merupakan kemasukan baru, sementara 3 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 41 kes yang sedang dirawat di ICU, 33 (81%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut; penyakit kronik (13), penyakit respiratori kronik (4), obesiti (8), kanak-kanak bawah 5 tahun (7) dan hamil (1).

Tiada kematian baru akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini.

Sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, orang ramai dinasihatkan mengamalkan 10 langkah pencegahan berikut:
  1. Orang ramai digalakkan membawa kit H1N1 (topeng mulut dan hidung, tisu dan sanitizer) di mana-mana sahaja berada termasuk ketika membeli belah, menaiki kenderaan awam atau beraya di rumah sanak-saudara dan rakan.

  2. Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri khususnya mencuci tangan sekerap mungkin dan menggunakan tisu apabila batuk dan bersin serta pastikan tisu digunakan dibuang ke dalam tong sampah.

  3. Individu yang mempunyai gejala selesema seharusnya tidak pergi ke tempat awam. Sekiranya terpaksa berada di tempat tersebut, pastikan sentiasa memakai topeng mulut dan hidung, mengamalkan kebersihan tangan serta membuang tisu yang kotor ke dalam tong sampah. Topeng mulut dan hidung yang telah digunakan juga perlu dibuang ke dalam tong sampah.

  4. Individu yang mempunyai gejala selesema seboleh-bolehnya elak menggunakan kenderaan awam untuk pulang atau balik berhari raya sebaliknya dinasihatkan untuk menggunakan kenderaan sendiri.

  5. Individu bergejala selsema yang menggunakan pengangkutan awam mahupun kenderaan sendiri hendaklah sentiasa memakai topeng mulut dan hidung serta mengamalkan adab batuk di sepanjang perjalanan.

  6. Individu yang berisiko tinggi dinasihatkan untuk mengelakkan diri dari berada di tempat awam yang sesak. Sekiranya terpaksa, rancang dan hadkan tempoh masa berada di tempat tersebut dan mestilah sentiasa memakai topeng mulut dan hidung.

  7. Individu berisiko tinggi yang menggunakan kenderaan awam untuk pulang atau balik dari berhari raya dinasihatkan supaya sentiasa memakai topeng mulut dan hidung.

  8. Sepanjang berada di kampung, individu yang mempunyai gejala selesema perlu menjarakkan diri dari orang lain, sentiasa memakai topeng mulut dan hidung, mengamalkan adab batuk, kerap mencuci tangan dan tidak mengunjungi tempat yang sesak seperti rumah terbuka dan majlis kenduri.

  9. Sekiranya mempunyai gejala selesema terutama bagi mereka yang berisiko tinggi, sila dapatkan rawatan daripada klinik atau hospital dengan segera.

  10. Sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai wabak Influenza A(H1N1) serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke semasa.

Maklumat serta perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Pertanyaan juga boleh diajukan melalui email cprc_h1n1@moh.gov.my. Laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini tentang H1N1.

Sekian, terima kasih.

DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MenteriKesihatan Malaysia

Tarikh: 14 September 2009